TENAGA, pengaruh, kejayaan, inspirasi... sebut apa saja, mereka memilikinya. Seperti tahun lalu, laman web perdagangan utama dunia Arab, Arabianbusiness.com baru-baru ini mengeluarkan senarai Kuasa Perdagangan Arab yang menyenaraikan 100 warga Arab paling berpengaruh.
Di tempat teratas senarai itu untuk tahun kelima berturut-turut ialah putera Arab Saudi, Alwaleed. Seperti sebelum ini, dia bukan saja lelaki Arab paling kaya, tetapi juga paling berpengaruh. Di tempat ke-100 pula ialah kartunis, Mohammed Harib.
Dan di antara mereka ialah individu yang terbabit dalam pelbagai bidang — media, fesyen, sukan, sains, akademik dan aktvis kebajikan, termasuk 13 wanita.
Berikut ialah 10 daripada wanita berkenaan yang disenaraikan sebagai Wanita Arab Paling Berpengaruh.
1. Dr Fawzieh Al Dorai
Negara Kediaman/Kerakyatan: Kuwait
Industri: Media dan Pemasaran
FAWZIEH dianggap sebagai Oprah Winfrey Asia Barat, tetapi dengan kelayakan lebih baik. Dia adalah wajah antara rancangan sembang paling popular di rantau itu.
Ahli psikologi dengan latar belakang pendidikan seks, Fawzieh mengacarakan rancangan sembang di televisyen Kuwait, ‘Seerat El Hob’ (Kisah Cinta). Rancangan telefon waktu perdana itu menangani isu hubungan kehidupan sebenar.
Dengan cogan kata ‘masalah yang tidak didedah tidak akan diselesaikan’, Fawzieh disanjung kerana membicarakan topik yang selama ini tidak pernah dibincangkan secara terbuka, membahaskan isu berkait dengan cinta dan perkahwinan.
Di rantau yang terkenal kerana fahaman konservatif, sifat terus terangnya menjadikan dia diminati di seluruh dunia Arab, sekali gus mewajarkan dia di tempat teratas senarai wanita Arab paling berpengaruh.
Fawzieh juga adalah pengarang 14 buku dan sering menyumbang rencana kepada media tempatan.
2. Lubna Olayan
Negara Kediaman/Kerakyatan: Arab Saudi
Industrti: Perbankan dan Kewangan
Syarikat: Kumpulan Olayan
SEORANG daripada ahli perniagaan wanita Arab paling berpengaruh. Tahun lalu dia menduduki tempat ke-12 senarai itu.
Sebagai CEO Kumpulan Kewangan Olayan, antara syarikat kewangan terbesar Arab Saudi, dia menyerlahkan dirinya sebagai pemimpin dan pejuang amalan perniagaan progresif.
Lubna menjadi anggota lembaga pengarah Bank Hollandi Saudi pada 2004, menjadikannya wanita pertama menduduki kerusi lembaga pengarah sebuah syarikat Saudi yang tersenarai di pasaran saham.
Syarikat Kewangan Olayan adalah kumpulan pelaburan, pengedaran dan pembuatan dengan memiliki lebih 40 anak syarikat. Di bawah penguasaan Lubna, kumpulan itu berjaya mendapatkan francais produk seperti Colgate Palmolive, Burger King, Nestle dan Coca-Cola.
Ia juga mengadakan usaha sama dengan beberapa rakan antarabangsa seperti BP Solar, Credit Suisse dan JP Morgan, sekali gus menjadikan syarikat berkenaan pelabur terbesar di pasaran saham Saudi dan dunia Arab.
Lubna juga terkenal kerana memperjuangkan hak asasi wanita. Pada Forum Ekonomi Jeddah pada 2004, dia menjadi wanita pertama berucap di persidangan yang dihadiri peserta wanita dan lelaki di Arab Saudi. Ucapannya mirip ucapan Martin Luther King, ‘I have a dream’.
3. Solaf Fawakherji
Negara Kediaman/Kerakyatan: Syria
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
BINTANG filem Syria, Solaf Fawakherji berlakon dalam lebih 20 siri televisyen dan beberapa filem cereka apabila dia beralih ke dunia perfileman menerusi ‘Halim’, filem yang mendapat sambutan hangat pada 2006.
Hari ini dia menjadi antara aktres Arab paling diminati. Kejelitaannya menyebabkan dia sering dibandingkan dengan diva Hollywood, Elizabeth Taylor.
Selain cantik, Solaf berkelulusan tinggi. Dia menamatkan pengajiannya di Institut Seni Halus Adham Ismail. Bakat lakonannya membolehkan dia memenangi beberapa hadian perfileman Syria.
Solaf yang tiada masalah menukar loghat Arab Syria kepada loghat Mesir dalam sekelip mata berkata, kualiti skrip filem dan bukan lokasi penggambaran yang menentukan dia menerima tawaran berlakon.
“Filem Mesir adalah paling popular di dunia Arab. Namun kriteria yang akan menjadi pilihan saya ialah skrip yang ditulis dengan baik,” katanya.
4.Sheikha Mozah Bint Nasser Al-Missned
Negara Kediaman/Kerakyatan: Qatar
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
Syarikat: Yayasan Qatar
ISTERI Emir Qatar, Sheikha Mozah adalah tenaga penting dalam bidangnya sendiri. Dia mengukuhkan pengaruhnya tanpa mengenal erti penat bagi mempromosi kepentingan kebajikan, termasuk peranannya sebagai Pengerusi Yayasan Pelajaran, Sains dan Pembangunan Kemasyarakatan Qatar.
Sejak beberapa tahun kebelakangan, menerusi kepemimpinan Sheikha Mozah, yayasan itu menubuhkan Bandar Raya Pelajaran yang menempatkan cawangan universiti antarabangsa mengendalikan kursus ijazah.
Tugas lain Sheikha Mozah ialah mempengerusikan projek Pusat Perubatan dan Penyelidikan Sidra bernilai RM289 bilion bagi meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara itu.
Di peringkat antarabangsa, Sheikha Mozah ialah duta khas Unesco untuk pendidikan asas dan tinggi. Peranan itu termasuk mempromosi projek antarabangsa bagi meningkatkan pelajaran di seluruh dunia.
Pada 2003, dia menubuhkan Dana Bagi Pendidikan Tinggi di Iraq yang memfokus kepada pembinaan semula institut pelajaran tinggi di negara itu.
Dua tahun kemudian, Sheikha Mozah dilantik menjadi anggota Pakatan Peradaban PBB oleh setiausaha agung badan dunia itu ketika itu, Kofi Annan.
5. Asma Al Assad
Negara Kediaman/Kerakyatan: Syria
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
WANITA pertama Syria ini meninggalkan karier dalam perbankan untuk memberi tumpuan sepenuh masa terhadap kerja kebajikan dan kemasyarakatan.
Sejak berkahwin dengan Presiden Bashar Al Assad pada Disember 2000, Asma menjadi tokoh yang sentiasa dilihat di majlis negara, diplomatik dan kebajikan.
Dia menggunakan pengaruhnya untuk menyokong pembangunan ekonomi dan meningkatkan kehidupan rakyat Syria.
Pada 2001, dia melancarkan Yayasan Untuk Pembangunan Desa Bersepadu, pertubuhan pembangunan bukan kerajaan pertama di negara itu.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya, ibu tiga anak itu diberi Anugerah Wanita Pertama Arab daripada Pusat Kajian Sumbangan Wanita Arab yang berpusat di Qatar.
Asma dilahirkan di London dan menamatkan pengajiannya di King’s College pada 1996 sebelum bekerja sebagai penganalisis dengan Deutsche Morgan Grenfell dan di bahagian pelaburan perbankan J P Morgan.
6. Nahed Taher
Negara Kediaman/Kerakyatan: Arab Saudi
Industri: Perbankan dan Kewangan
Syarikat: Bank Pelaburan Gulf One
TOKOH dalam sektor kewangan serantau, Nahed antara wanita Arab yang berjaya menduduki tempat teratas syarikat korporat.
Dia antara empat wanita Arab yang pernah disenaraikan oleh majalah Forbes sebagai wanita paling berpengaruh di dunia. Reputasinya menjangkau jauh dari negaranya sendiri.
Dengan belajar di Universiti Raja Abdulaziz di Jeddah, Nahed mengukuhkan minatnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan dengan menyambung pengajian di Sekolah Pentadbiran Universiti Lancaster di Britain.
Dia memperoleh ijazah sarjana dan seterusnya ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi pada 2001.
Selepas menamatkan pelajaran, dia dilantik menjadi perancang kanan ekonomi Bank Perdagangan Nasional di Arab Saudi selama tiga tahun. Antara lebih 4,000 pekerja, dia satu-satunya kakitangan wanita.
Menjelang penghujung 2005, Nahed mengasaskan Bank Pelaburan Gulf One, menjadikannya wanita pertama memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat kewangan di dunia Arab.
Dalam menjalankan tugasnya, Nahed bertanggungjawab terhadap transaksi seperti pelancaran dana ekuiti swasta berjumlah RM35 bilion hingga dia digelar ‘Ros Padang Pasir’.
7. Hend Al Mansourr
Negara Kediaman/Kerakyatan: Amerika Syarikat/Arab Saudi
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
ARTIS, Hend Al Mansourr adalah muka baru dalam Senarai Wanita Arab Paling Berpengaruh.
Walaupun menetap di Amerika Syarikat, dia tidak banyak melencong dari asal usul keturunannya dengan kebanyakan hasil tangannya tertumpu pada wanita di dunia Islam.
Kebanyakan hasil lukisannya berbentuk kaligrafi, hiasan dan seni bina Islam, dengan mengguna inai dan fabrik berwarna warni untuk menonjolkan sistem keagamaan dan kepercayaan sosial.
Dengan menggunakan lembaran besar sutera, kain kapas atau kanvas, Hend menghasilkan bentuk rumah ibadah, khemah atau masjid yang membolehkan pengunjung berjalan menerusinya.
Dalam setiap karyanya, ada laluan berarca, kubah, pasir, kerusi, permaidani, mangkuk, skulptur geometri dan bau-bauan yang menggambarkan budaya wanita.
Hasil kerjanya pernah dipamerkan di Amerika Syarikat dan Arab Saudi.
Dilahirkan di Hofuf, timur Saudi pada 1956, Hend mengambil jurusan perubatan di Universiti Kaherah. Dia berkhidmat sebagai doktor di Arab Saudi sehingga 1997 sebelum berhijrah ke Minnesota, Amerika Styarikat bersama suaminya, profesor kajian agama dan juga penulis.
8. Fairouz
Negara Kediaman/Kerakyatan: Lubnan
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
DIKENALI sebagai Duta Arab, Fairouz masih dianggap sebagai yang terbaik dalam dunia muzik Arab.
Dilahirkan di kawasan pergunungan Cedar di Lubnan pada 1935, dia membesar dalam keluarga ortodoks yang tinggal dalam rumah tanpa bilik — rumah tradisi Lubnan — dan berkongsi dapur dengan jiran.
Fairouz belajar di Beirut dan memulakan karier muziknya sebagai penyanyi latar di stesen radio Lubnan.
Pada 1950-an, kariernya sebagai penyanyi melonjak dan lagunya menjadi lebih popular, sekali gus meningkatkan statusnya secara dramatik.
Dia sekarang dikagumi di dunia Arab dan sering menjadi tetamu keluarga di raja, presiden dan orang kenamaan lain.
Walaupun tidak pernah menyanyi di Baitulmaqdis, kunci bandar suci itu yang dihadiahkan ketika dia melawat bandar berkenaan bersama bapanya menjadi hadiah paling disayanginya.
9. Dr Amina Al Rostamani
Negara Kediaman/Kerakyatan: Emiriyah Arab Bersatu
Industri: Perbankan dan Kewangan
DR Amina Al Rustamani adalah nama biasa dalam dunia perdagangan import eksport. Dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif TECOM, syarikat milik kerajaan yang mengawasi beberapa jumlah zon perdagangan bebas.
Ketika menjadi Pengarah Penyiaran Bandar Media Dubai, Amina menyumbang kepada rekacipta dan pelaksanaan penyiaran televisyen satelit dan pengekodan video untuk penyiar di bandar berkenaan dan beberapa kawasan lain di rantau itu.
Di peringkat kebangsaan, Amina adalah anggota Majlis Media Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu yang ditubuhkan pada Jun 2006.
10. Nancy Ajram
Negara Kediaman/Kerakyatan: Lubnan
Industri: Kebudayaan dan Kemasyarakatan
REPUTASI Nancy sebagai penyanyi wanita Arab paling berjaya diperkukuhkan November lalu apabila dia menaiki pentas untuk menerima Anugerah Muzik Dunia bagi artis Arab dengan penjualan album terbanyak.
Dengan lebih 30 juta album dijual, Nancy antara penyanyi paling kaya di Lubnan. Dia mula muncul dalam dunia muzik apabila memenangi pertunjukan hiburan kebangsaan, ‘Noujoum Al-Moustakbal’ (Bintang Masa Depan) selepas dua albumnya gagal.
Album ketiganya, ‘Ya Salam’ yang diterbitkan pada 2003 dan turut mengandungi lagu ‘Akhasmak Ah’ (Saya Mencemuh Kamu) mendapat sambutan hangat.
Kejayaannya sebagai penyanyi membuka jalan untuk Nancy menandatangani beberapa perjanjian dengan syarikat iklan dan yang paling lumayan dengan Coca-Cola dan syarikat barang kemas mewah, Damas.
"Sayangi Sebuah Perkenalan Kerana Di Situ Terciptanya Kemesraan,
Sayangi Sebuah Persahabatan Kerana Di situ Terciptanya Kerinduan,
Hargai Kedua-duanya Kerana Itulah Rahmat Tuhan"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan